GOTONG-ROYONG MEGA MBAS BERSAMA KOMUNITI SIMPANG EMPAT KANGKONG PERKASA KEBERSIHAN PERSEKITARAN

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 12 Oktober 2026 – Semangat kebersamaan dalam menjaga kebersihan dan keceriaan persekitaran terus diperkukuh menerusi Program Gotong-Royong Mega Bersama Komuniti Simpang Empat Kangkong sempena Program Kemasyarakatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kedah, yang berlangsung pagi semalam.
 
Program telah disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusri Haji Md Daud, bertempat di Pejabat Penghulu Simpang Empat, Mukim Kangkong. Hadir sama ADUN Pengkalan Kundor, YB Mardhiyyah Johari; Pengarah SWCorp Kedah, YBrs. Tuan Shamsuharizal bin Basir; Jurutera Daerah Kota Setar, Ir. Isnil Badril Ismail; Ketua WHIP Ahli Majlis Zon 15 (Simpang Empat), Tuan Haji Ridzuan Othman; serta Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS, Tuan Haji Bohari Md Yusof, bersama Ahli-Ahli Majlis MBAS serta pegawai-pegawai yang terlibat.
 
Gotong-royong melibatkan aktiviti pembersihan sungai, membersihkan dan menceriakan Pasar Awam Simpang Empat serta Medan Selera Simpang Empat, selain kerja-kerja pembersihan di kawasan sekitar bagi mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, kemas dan selesa untuk penduduk setempat.
 
Selain aktiviti gotong-royong, program turut diserikan dengan peluncuran Kempen 9R serta penyerahan khemah kepada komuniti penjaja Simpang Empat sebagai sokongan terhadap usaha memperkasa komuniti setempat.
 
Pelbagai pengisian lain turut diadakan, antaranya pemeriksaan kesihatan, pameran dan jualan oleh agensi terlibat serta kempen pembayaran cukai pintu dan cukai tanah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai aspek kesihatan, kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab sivik.
 
Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua rakan kolaborasi yang menjayakan program berkenaan iaitu SWCorp Kedah, MAIK, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), E-Idaman Sdn. Bhd., Pejabat Daerah, MADA, Pejabat ADUN, pihak penghulu, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Jabatan Bantuan Guaman Negeri Kedah, penduduk setempat, komuniti perniagaan, Syarikat Bismi, sekolah-sekolah serta tadika KEMAS.
 
Kerjasama erat antara agensi kerajaan, komuniti dan sektor perniagaan ini mencerminkan kepentingan penglibatan bersama dalam memastikan kebersihan kawasan awam sentiasa terpelihara, di samping memupuk rasa tanggungjawab dan semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat.
 
MBAS berharap usaha seumpama ini dapat diteruskan secara berterusan bagi mewujudkan persekitaran yang bersih, ceria dan selesa demi kesejahteraan komuniti Simpang Empat Kangkong.
 
Skip to content