18 Oktober 2026 – Majlis Perasmian Pembukaan Program Peningkatan Kemajuan Kerjaya Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, Kelantan, Kedah dan Johor Tahun 2026 telah berlangsung di Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Majlis anjuran Kerajaan Negeri Terengganu selaku tuan rumah ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mohd Nor bin Hamzah, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Program berkenaan berjaya menghimpunkan seramai 856 orang Pegawai Tadbir Negeri daripada empat buah negeri yang terlibat, termasuk 130 orang Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS), sebagai usaha memperkukuh jaringan kerjasama dan hubungan profesional antara pentadbiran negeri.

Antara pengisian utama program ialah sesi Bicara Eksekutif yang disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), bertajuk “Sinergi Kepimpinan Negeri dan Persekutuan: Memacu Transformasi Perkhidmatan Awam Secara Kolektif dan Berimpak Tinggi”.

Dalam amanat beliau, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam turut menekankan peranan dan tanggungjawab bersama penjawat awam dalam mencorakkan masa hadapan perkhidmatan awam negara ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, berintegriti dan berimpak tinggi.

Penganjuran program ini menjadi platform penting dalam memperluas perkongsian ilmu, memperkukuh sinergi kepimpinan serta meningkatkan kompetensi dan profesionalisme Pegawai Tadbir Negeri.

Klik untuk gambar sekitar program

#MajlisPerbandaranKulim

#ProgramPeningkatanKemajuanKerjaya2026

Skip to content