OPS BERSEPADU BARANG LUSUH : MBAS & PDRM GEMPUR PREMIS TANPA LESEN DAN KACAU GANGGU DI KOTA SETAR

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
ALOR SETAR, 19 Oktober 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar telah melaksanakan Operasi Bersepadu Barang Lusuh di sekitar Daerah Kota Setar bagi membanteras aktiviti penyimpanan serta perniagaan barangan lusuh tanpa lesen selain menangani isu kacau ganggu awam.
 
Operasi yang bermula jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang itu melibatkan penyertaan seramai 10 pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta 12 pegawai MBAS yang merangkumi Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Inspektorat, dan Bahagian Pelesenan.
 
Hasil daripada operasi menyeluruh tersebut, pihak berkuasa telah memeriksa sebanyak lapan buah premis yang merangkumi kawasan kilang dan kediaman. Berdasarkan pemeriksaan, pihak berkuasa mendapati beberapa pemilik gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, sekali gus mendorong kepada pengeluaran empat kompaun dan lima notis atas pelbagai kesalahan.
 
Antara kesalahan utama yang dikesan termasuklah menjalankan aktiviti perniagaan dan pejabat urusan tanpa lesen sah yang dikeluarkan pihak berkuasa, serta kegagalan menjaga kebersihan premis. Selain itu, pihak berkuasa turut mengesan kesalahan meletakkan kenderaan rosak serta halangan seperti palet kayu di ruang awam yang mengganggu ketenteraman dan keselesaan penduduk setempat.
 
Dalam pada itu, pemeriksaan di beberapa lokasi kediaman turut mendapati wujudnya aktiviti pengumpulan barang lusuh secara haram sehingga menimbulkan kacau ganggu akibat risiko pembiakan haiwan pembawa penyakit. Walau bagaimanapun, pemeriksaan di sebahagian premis lain mendapati keadaan adalah memuaskan, di mana tiada sebarang pelanggaran undang-undang dikesan kerana premis beroperasi secara sah atau telah menghentikan aktiviti pengumpulan barang lusuh.
 
MBAS menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan seumpama ini akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa. Pihak majlis menyeru semua warga kota dan pengusaha perniagaan agar sentiasa mematuhi undang-undang, mendapatkan lesen perniagaan yang sah, serta memelihara kebersihan persekitaran demi kesejahteraan dan keharmonian bandar raya ini.
 
Skip to content