MBAS RAIH ANUGERAH PLATINUM DAN EMAS DI PERSIDANGAN NASIONAL REFORMASI KARENAH BIROKRASI (RKB) TAHUN 2026

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Shah Alam, 29 Oktober 2026 — Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melakar kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih Anugerah Platinum dan Anugerah Emas menerusi dua projek inovasi yang memberi impak kepada peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
 
Anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail di Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 2026 yang berlangsung pada 28 dan 29 Oktober 2026 bertempat di Selangor International Trade Centre (SITC).
 
Anugerah Platinum diberikan kepada Jabatan Perancangan Pembangunan, MBAS menerusi projek “NADI” yang mempercepat proses kelulusan Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (KMTT) bagi Perubahan Material Penggunaan Bangunan Berisiko Rendah daripada 80 hari kepada 14 hari, dengan impak yang jelas dan boleh diukur.
 
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS turut menerima Anugerah Emas menerusi projek “MILA” yang mempercepat proses kelulusan pengeluaran lesen premis perniagaan berisiko daripada 30 hari kepada hanya 10 minit. Projek ini turut menunjukkan potensi untuk terus diperkukuh dan dikembangkan pada masa hadapan.
 
Pihak MBAS telah dihadiri oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS, Tn. Hj. Bohari Md. Yusof; Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MBAS, Puan Hasmahanum Hamzah; Timbalan Pengarah Kawalan dan Operasi, Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS, Puan Narisa Mohd Hashim; Pegawai Kesihatan Persekitaran MBAS, Ts. Mohd Fairul Hisyam Mazlan; Pegawai Perancang Bandar & Desa MBAS, En. Nur Azzuan Hafifi Mohd Noordin serta pegawai-pegawai terlibat.
 
Kejayaan ini membuktikan komitmen MBAS dalam memperkasa inovasi dan reformasi birokrasi ke arah penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, responsif dan berimpak tinggi demi kesejahteraan warga Bandaraya Alor Setar.
 
Skip to content