DATUK BANDAR MBAS HADIR MAJLIS PENGIKTIRAFAN KOMPETENSI MARITIM DAN PEMERKASAAN SYARIKAT TEMPATAN DI KUALA KEDAH

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Kuala Kedah, 2 November 2026 — Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya menghadiri Majlis Perasmian Pengiktirafan Kompetensi Maritim dan Pemerkasaan Syarikat Tempatan di bawah Program Kolaborasi Industri (Industrial Collaboration Program – ICP) bagi Projek Membina dan Menaik Taraf Terminal Penumpang, Kargo dan RoRo Kuala Kedah.
 
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook, yang meraikan kejayaan 65 peserta memperoleh Pensijilan Jurumudi Mate Domestic (Open) dengan kadar kelulusan 100 peratus, selain pengiktirafan kepada 10 syarikat tempatan. Pengiktirafan itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kompetensi tenaga kerja serta meningkatkan keupayaan dan daya saing syarikat tempatan dalam industri maritim negara.
 
Projek pembangunan Terminal dan Jeti Kuala Kedah bernilai RM245 juta yang bermula pada 2024 dan dijangka siap pada penghujung 2027 itu bakal meningkatkan kapasiti terminal daripada kira-kira 800 kepada 3,000 penumpang, selain membolehkan tiga bot penumpang berkapasiti besar berlabuh pada satu-satu masa.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Bandar turut mengambil kesempatan berkongsi beberapa perkara berhubung penyelarasan isu persekitaran dan infrastruktur yang perlu diberi perhatian dalam pembangunan terminal baharu berkenaan. Antara perkara yang dibangkitkan termasuk aspek persimpangan dan sirkulasi trafik ke Jambatan Tok Pasai, risiko banjir akibat air pasang serta kesannya, selain isu mendapan dan sampah di Alor Tok Pasai.
 
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pembangunan), YBhg. Dato’ Fauzi Mustafa; Ketua Polis Kedah, CP Dato’ Adzli Abu Shah; Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali serta pegawai-pegawai terlibat.
 
Selesai majlis, Datuk Bandar turut menziarahi Makam Tok Pasai sebagai sebahagian daripada kunjungan beliau ke kawasan bersejarah berkenaan.
 
 
Skip to content