




3 November 2026 – Majlis Perbandaran Kulim telah mengadakan sesi taklimat pra pendaftaran dan pra undian petak niaga Bazar Ramadan bagi tahun 2027/1448H bertempat di Dewan Bandaran Kulim. Sesi taklimat pada hari pertama ini melibatkan pemohon daripada lokasi Kulim, Kelang Lama, Padang Serai, Stesen Bas Padang Serai dan Taman Mahsuri.
Sesi taklimat telah disampaikan oleh Puan Siti Nur Amirah Binti Azuddin, Pegawai Teknologi Makanan, Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Daerah Kulim; diikuti oleh Puan Norhasniza Binti Khazari, Ketua Cawangan Bank Muamalat Kulim; Encik Mohd Hilmi Danial Bin Helmy Sham, Pegawai Jualan dan Pemasaran, E-Idaman Kulim; serta Encik Mohamad Firdaus bin Saiden, Ketua Unit Peniaga Kecil & Penjaja, Jabatan Kesihatan Persekitaran, MPKK.
Setiap pembentangan memberikan penekanan terhadap aspek kesihatan, keselamatan, perlindungan sosial, pengurusan sisa serta pematuhan syarat-syarat penjajaan bagi memastikan kelancaran operasi bazar. Turut hadir, Puan Noorul Azzyati binti Ahmad Salmi, Setiausaha, dan Encik Ahmad Shakir bin Arus, Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MPKK.
Majlis Perbandaran Kulim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peniaga yang hadir atas komitmen dan kerjasama yang diberikan. Diharapkan sesi taklimat ini dapat meningkatkan kefahaman para peniaga berhubung prosedur pendaftaran, pematuhan peraturan, serta persediaan pelaksanaan Bazar Ramadan tahun 2027.