




5 November 2026 – Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) telah menyertai Konvensyen Penilaian dan Pengurusan Harta Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia 2026 (KONVEP 2026) yang berlangsung di Hotel Ixora, Pulau Pinang.
Konvensyen anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Baderul Amin bin Abdul Hamid, Datuk Bandar Seberang Perai, dan berjaya menghimpunkan seramai 238 orang peserta yang mewakili 76 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari seluruh Malaysia. Penganjuran konvensyen ini menjadi platform strategik bagi perkongsian ilmu, pengalaman, kepakaran dan amalan terbaik dalam bidang penilaian serta pengurusan harta, khususnya ke arah memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan PBT.
Dalam konvensyen tersebut, MPKK turut diberikan penghormatan sebagai salah satu pihak yang menyampaikan perkongsian ilmu menerusi pembentangan bertajuk “Penilaian Semula Cukai Taksiran di Kedah: Cabaran Peralihan ke Nilai Tambah – Memperkasa Hasil, Meningkatkan Kualiti Perkhidmatan” yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MPKK, Puan PMgr. Sr. Fauziah binti Abdul Mutalib. Pembentangan tersebut turut disusuli dengan sesi soal jawab dan pertukaran pandangan bersama wakil pihak berkuasa tempatan yang lain.
Lebih membanggakan, MPKK turut menerima Anugerah Penyertaan Tertinggi (Perak) KONVEP 2026 sebagai pengiktirafan atas pencapaian jumlah penyertaan kedua tertinggi dalam konvensyen berkenaan, dengan penglibatan seramai 11 orang peserta yang mewakili MPKK.
Penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan MPKK dalam memperkasa kompetensi dan profesionalisme warga kerja melalui perkongsian pengetahuan, pengalaman serta amalan terbaik antara PBT. Segala input dan pengetahuan yang diperoleh diharapkan dapat dimanfaatkan bagi memperkukuh pengurusan penilaian dan harta, mengoptimumkan hasil cukai taksiran serta meningkatkan kecekapan tadbir urus dan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak penganjur, para penceramah serta semua pihak yang terlibat atas kejayaan penganjuran KONVEP 2026. Semoga penganjuran seumpama ini terus menjadi pemangkin kepada kecemerlangan, inovasi dan pemerkasaan pengurusan penilaian serta harta PBT di Malaysia.