MENJUNJUNG KASIH TUANKU | DYTM TUANKU RAJA MUDA KEDAH, DYAM TUNKU MAHKOTA KEDAH & DYAM TUNKU PUAN MAHKOTA KEDAH BERANGKAT KE PROGRAM WAKAF FUND RUN MAIK 2026 SEMPENA ALOR SETAR CAR FREE SATURDAY EDISI NOVEMBER 2026

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 7 November 2026 – Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (MAIK), berkenan berangkat ke Wakaf FundRun 2026 anjuran MAIK bersempena hari Alor Setar Car Free Saturday edisi November 2026 di Dataran Medan Bandar, di sini.
 
Turut berangkat ialah Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah dan Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff, Tunku Puan Mahkota Kedah.
 
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh YB Dato’ Seri Haji Norizan Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman; Sahibus Samahah Dato’ Paduka (Dr.) Syeikh Fadzil Haji Awang, Mufti Negeri Kedah Darul Aman; YB Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman; Dato’ Haji Mohd Yusri Md. Daud, Timbalan Yang Dipertua MAIK; Syeikh Mohamad Subhi Abdullah, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (JHEAIK); En. Mohamad Shahuri Mohamad Norlin, Setiausaha MBAS serta dif-dif kehormat yang lain.
 
Baginda Tuanku Raja Muda Kedah turut berkenan menyempurnakan pelepasan larian Wakaf FundRun 2026 serta perkenan menyertai acara brisk walk. Terdahulu, DYAM Tunku Mahkota Kedah dan DYAM Tunku Puan Mahkota Kedah telah memulakan larian dari Istana Nur Iman menuju ke Dataran Medan Bandar sebelum meneruskan larian sejauh 10 kilometer bersama para peserta. Seusai acara, DYTM Tuanku Raja Muda Kedah dan DYAM Tunku Mahkota Kedah turut perkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang serta menerima cek cura daripada pemberi wakaf sebelum berangkat pulang.
 
Wakaf FundRun 2026 anjuran Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) yang julung kali diadakan berjaya menarik penyertaan seramai 3,030 peserta menerusi tiga kategori larian, iaitu 2.5 kilometer (km), 5 km dan 7 km. Program itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan berwakaf serta mengumpul dana bagi pembangunan 15 projek institusi keagamaan di Kedah. Dengan sokongan pelbagai penaja korporat dan rakan strategik, program ini berjaya mencatatkan kutipan sebanyak RM651,000.
 
Alor Setar Car Free Saturday yang berlangsung pada minggu pertama setiap bulan membawa aspirasi yang lebih besar daripada sekadar akitiviti riadah. Ia merupakan manifestasi komitmen berterusan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dalam menggalakkan mobiliti hijau, membudayakan kehidupan sihat serta menghidupakan nadi pusat bandar melalui penglibatan komuniti dan aktiviti pelancongan.
 
Skip to content