



Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) telah menyertai Sesi Perbincangan Isu Keutamaan PEMUDAH: Pengemaskinian Inisiatif dan Perancangan Pelan Tindakan Berkaitan Agensi Teknikal Luaran (ATL) anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang berlangsung di Fraser Residence, Putrajaya pada 6 November 2026.
Sesi perbincangan tersebut turut disertai wakil Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), perunding Principal Submitting Person (PSP) dan Submitting Person (SP) serta dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), iaitu MPKK dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).
Dalam sesi berkenaan, MPKK melalui Encik Riansyah Annai Minsai bin Abdullah, Penolong Pengarah Unit Pusat Setempat (OSC), telah menyampaikan pembentangan bertajuk “Isu Berkaitan OSC dan ATL oleh Majlis Perbandaran Kulim” yang memfokuskan kepada pengalaman serta cabaran dalam pengurusan proses kelulusan pemajuan di peringkat PBT.
Antara perkara yang diketengahkan adalah berkaitan prestasi permohonan pembangunan, pematuhan Piagam Pelanggan OSC, isu penyelarasan bersama Agensi Teknikal Luaran (ATL) serta cabaran keperluan kajian teknikal seperti TIA, RSA, SIA dan EIA.
MPKK turut berkongsi kajian kes pelaksanaan Industrial Green Lane (IGL) serta cadangan Inisiatif Hibrid OSC 14 sebagai salah satu pendekatan penambahbaikan bagi memperkemas dan mempercepat proses kelulusan pemajuan.
Penganjuran sesi ini menjadi platform perkongsian pandangan dan pengalaman antara agensi kerajaan, PBT serta pihak perunding dalam mengenal pasti isu keutamaan dan merangka cadangan penyelesaian yang lebih berkesan.
Penyertaan MPKK mencerminkan komitmen berterusan Majlis dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan OSC yang lebih cekap, telus dan mesra pelabur, selaras dengan usaha memudah cara pembangunan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi di Daerah Kulim dan Negeri Kedah.
Kredit Foto: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)