




11 November 2026 – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) melalui Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan satu operasi bersepadu bagi tindakan perobohan dan sitaan gerai serta binaan tanpa kebenaran yang didirikan di kawasan bahu jalan sepanjang Jalan Paya Besar, Lunas, Kulim. Sebanyak tujuh (7) buah gerai dan binaan telah dikenal pasti untuk tindakan penguatkuasaan susulan kegagalan mematuhi Notis Halangan Tempat Awam.
Operasi ini turut melibatkan kerjasama beberapa agensi dan jabatan, antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), SWCorp, E-Idaman serta jabatan-jabatan dalaman MPKK.
Pelaksanaan operasi ini bertujuan memastikan kawasan bahu jalan bebas daripada halangan dan binaan tanpa kebenaran, di samping memelihara keselamatan pengguna jalan raya, menjaga kepentingan awam serta memastikan persekitaran bandar berada dalam keadaan lebih selamat, bersih dan teratur.
MPKK merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi serta anggota yang terlibat atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara tersusun, berhemah dan berkesan.
Orang awam khususnya peniaga turut diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan yang berkuat kuasa serta mendapatkan kelulusan yang sewajarnya sebelum mendirikan sebarang struktur atau binaan.
Ikuti media sosial rasmi MPKK untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan tindakan penguatkuasaan, penyelesaian aduan awam serta perkembangan perkhidmatan kepada warga Kulim.
Terima kasih atas kerjasama dan keprihatinan warga Kulim dalam usaha bersama-sama mewujudkan persekitaran bandar yang lebih indah, bersih, maju dan selamat.
“𝑴𝑷𝑲𝑲 𝑴𝑬𝑵𝑫𝑬𝑵𝑮𝑨𝑹, 𝑴𝑷𝑲𝑲 𝑩𝑬𝑹𝑻𝑰𝑵𝑫𝑨𝑲”