KONVENSYEN PERUNDANGAN DAN PENGUATKUASAAN PBT MALAYSIA 2026, PERKASA TADBIR URUS PIHAK BERKUASA TEMPATAN

KLIK SINI UNTUK BERITA BERGAMBAR PENUH
Alor Setar, 24 November 2026 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dengan kerjasama Persatuan Pegawai Perundangan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah (KLAs) menganjurkan Konvensyen Perundangan dan Penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula 23 hingga 24 November 2026 di Serasi Ballroom, Hotel Serasi Padi, Alor Setar.
 
Konvensyen bertemakan “Memperkasa Perundangan, Memantapkan Penguatkuasaan PBT” itu menghimpunkan seramai 198 peserta yang terdiri daripada barisan kepimpinan dan pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Malaysia serta wakil agensi berkaitan.
 
Penganjuran konvensyen ini menjadi wadah perkongsian ilmu, percambahan idea dan pembinaan jaringan strategik dalam kalangan warga PBT, khususnya bagi membincangkan cabaran semasa, keperluan reformasi serta hala tuju perundangan dan penguatkuasaan PBT dalam mendepani perkembangan pengurusan bandar yang semakin kompleks.
 
Majlis perasmian konvensyen telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, Yang Berhormat Mejar (B) Mansor Zakaria. Hadir sama Datuk Bandar Alor Setar, YBhg. Dato’ Haji Abdul Gafar Yahya; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Bahagian Kerajaan Tempatan, Puan Norhasteza Bahdun yang mewakili Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Kedah; Presiden Persatuan Pegawai Perundangan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah, YBrs. Dr. Elina Mohd serta Tuan Setiausaha MBAS, Encik Mohamad Shahuri Mohamad Norlin.
 
Konvensyen ini memberi peluang kepada para peserta mengikuti perkongsian daripada barisan panel penceramah berwibawa yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang iaitu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, YBhg. Dato’ Haji Elmi Yusoff; Pengarah Urusan EB Property Management, YBrs. PLC PMgr. Sr. Dr. Haji Soeb Pawi; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniSHAMS, YBrs. Dr. Akli Ahmad, Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan DBKL, YBrs. Tuan Nasrul Zaki Mohd Yunus; Peguambela dan Peguamcara, YBrs. Tuan Kanesh Sundrum; Ketua Penolong Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan MBJB, YBrs. Dr. Muhamad Khairi Sulaiman; Peguambela dan Peguamcara, YBrs. Puan Aisha Jothilingam serta Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MBPP, YBrs. Tuan Noorazrein Noorazlan Ong.
 
Perkongsian tersebut merangkumi pengalaman, pandangan serta pendekatan berkaitan aspek perundangan dan penguatkuasaan yang dapat membuka perspektif baharu dalam memperkukuh pelaksanaan tugas serta tanggungjawab PBT.
 
Selain menjadi platform pertukaran pengetahuan dan pengalaman, konvensyen ini turut membuka ruang kepada pegawai PBT untuk membincangkan isu serta cabaran yang dihadapi dalam memastikan pelaksanaan undang-undang dan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara lebih teratur, berkesan dan selaras dengan keperluan semasa.
 
Penganjuran konvensyen ini diharap dapat memperkukuh kefahaman, meningkatkan kompetensi profesional serta merapatkan kerjasama antara PBT dan agensi berkaitan, sekali gus menyumbang kepada sistem penyampaian perkhidmatan pihak berkuasa tempatan yang lebih cekap, berintegriti dan responsif terhadap keperluan masyarakat.
 
 
Skip to content