23 November 2026 – Dato’ Haji Elmi bin Yusoff, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) telah dijemput sebagai salah seorang ahli panel bagi forum bertajuk “Wacana Strategik PBT: Undang-Undang, Budi Bicara dan Ekspektasi Masyarakat” bersempena Konvensyen Perundangan dan Penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia 2026 yang berlangsung di Serasi Ballroom, Hotel Serasi Padi, Alor Setar.

Forum tersebut menjadi medan perkongsian pandangan, pengalaman dan kepakaran dalam membincangkan pelbagai aspek berkaitan pelaksanaan perundangan, penggunaan kuasa budi bicara serta cabaran dalam memenuhi ekspektasi masyarakat terhadap peranan dan tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Perbincangan ini turut mengetengahkan kepentingan keseimbangan antara penguatkuasaan undang-undang dan keperluan masyarakat bagi memastikan tadbir urus kerajaan tempatan yang cekap, telus dan berkesan.

Konvensyen yang berlangsung selama dua hari ini telah disempurnakan perasmiannya oleh YB Mejar (B) Mansor Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah. Penganjuran konvensyen ini menghimpunkan kira-kira 190 peserta yang terdiri daripada Datuk Bandar, Yang Dipertua PBT, Ahli Majlis serta pegawai daripada pelbagai PBT dan agensi di seluruh negara.

Penganjuran konvensyen ini turut menyediakan platform strategik bagi memperluas perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik, di samping memperkukuh jaringan kerjasama antara PBT dalam memantapkan aspek perundangan, penguatkuasaan serta kecekapan tadbir urus kerajaan tempatan.

Penglibatan Yang Dipertua MPKK sebagai ahli panel dalam forum ini mencerminkan komitmen berterusan Majlis Perbandaran Kulim dalam menyokong usaha memperkukuh sistem pentadbiran dan penguatkuasaan PBT, selaras dengan aspirasi untuk meningkatkan kecekapan serta kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Semoga perkongsian ilmu dan pengalaman menerusi konvensyen ini dapat dimanfaatkan dalam memperkasakan pengurusan dan pentadbiran PBT ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih berkualiti, berintegriti dan berorientasikan kesejahteraan masyarakat.

Klik untuk gambar sekitar program

#MajlisPerbandaranKulim

#KonvensyenPerundanganDanPenguatkuasaanPBT2026

Skip to content