SAMBUTAN HARI PERANCANGAN BANDAR SEDUNIA (HPBS) TAHUN 2026 PERINGKAT NEGERI KEDAH
Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) telah menghadiri Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 Peringkat Negeri Kedah Darul Aman yang berlangsung di Taman Tasik Putra, Kulim, hari ini.
Sambutan yang bertemakan “Bandar Kita, Masa Depan Kita – Ke Arah Pembangunan Lestari, Nikmat Untuk Semua” turut menjadi platform pengiktirafan terhadap usaha pihak berkuasa tempatan dalam memperkukuh perancangan dan pembangunan bandar yang mampan.
Dalam majlis tersebut, MPSPK telah menerima pengiktirafan sebagai “Bandar Mampan” berdasarkan penilaian melalui Program Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia (MURNInets 2.0) Tahun 2026 serta Penerima Pelan Tindakan Khas (PTK) & Brief Projek Tahun 2026 : Cadangan Pembangunan River Of Life Sungai Petani dan Revitalisasi Pekan Sehari Di Pusat Bandar Sungai Petani.
Pengiktirafan tersebut menunjukkan komitmen berterusan MPSPK dalam melaksanakan perancangan serta pembangunan bandar yang menekankan aspek kemampanan, kesejahteraan komuniti dan kualiti perkhidmatan perbandaran demi manfaat masyarakat.
Hadir menerima ialah Yang Dipertua MPSPK, YM Tunku Iskandar Shah bin Tunku Muszaffar Shah, bersama Puan Nurazureen binti Daud, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar; TPr. Puan Rohani binti Abu Bakar, Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti & Kesejahteraan Bandar; serta Encik Mohd Zulidzham bin Mohd Ali, Pengarah Bahagian Pusat Setempat (OSC).
Pengiktirafan ini diharapkan dapat terus menyuntik semangat kepada seluruh warga MPSPK untuk memperkukuh usaha ke arah pembangunan Sungai Petani sebagai sebuah perbandaran yang mampan, dinamik dan sejahtera, selaras dengan aspirasi pembangunan bandar yang memberi manfaat serta nikmat untuk semua. Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh warga MPSPK atas pencapaian ini.
Klik untuk video sekitar program
Klik untuk gambar sekitar program






