JALINAN MUHIBAH SK TAMAN SRI WANG BERSAMA MPSPK

Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) berbesar hati menerima kunjungan penghargaan daripada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Sri Wang, Encik Khairi bin Musa, bersama Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Encik Muhammad Afifi bin Abdullah Zawawi. Turut hadir bersama dalam kunjungan tersebut ialah Ahli Majlis Zon 1, Encik Khairol Jasmin bin Namin.

Kunjungan hormat ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan apresiasi pihak sekolah kepada Yang Dipertua MPSPK, YM Tunku Iskandar Shah bin Tunku Muszaffar Shah, atas keprihatinan serta tindakan membantu permohonan pihak sekolah berhubung kerja-kerja pemangkasan pokok di kawasan luar pagar sekolah yang dikenal pasti berisiko terhadap keselamatan murid-murid, ibu bapa dan warga sekolah yang melibatkan jalan utama pengguna jalanraya. ‎

Sebagai tanda penghargaan, pihak sekolah bersama Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Yang Dipertua MPSPK atas perhatian, sokongan dan kerjasama yang telah diberikan.

MPSPK amat menghargai penghargaan yang dizahirkan ini. Sesungguhnya, usaha menjaga keselamatan dan kesejahteraan komuniti bukanlah tanggungjawab satu pihak semata-mata, sebaliknya memerlukan kesepakatan, keprihatinan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan serta masyarakat setempat.

Keselamatan anak-anak adalah amanah bersama. MPSPK akan terus komited memperkukuh hubungan strategik dengan pelbagai pihak demi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selamat, kondusif dan sejahtera untuk seluruh komuniti. Terima kasih atas kunjungan dan penghargaan yang diberikan.


Klik untuk gambar sekitar program

Skip to content