SELASA (7.4.2020)

ALOR SETAR – Kedai menjual input pertanian termasuk baja dan racun, ‘hardware’, alat tukar ganti bagi jentera pertanian dan industri serta barangan keperluan haiwan seperti makanan dan ubat-ubatan di negeri ini, dibenarkan beroperasi dua hari seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Sr. Tan Kok Yew berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Penyelarasan Tadbir Urus Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hari ini.

Menurutnya, mesyuarat tersebut diadakan bagi menyelaras semula waktu premis dibenarkan beroperasi, bersandarkan status perkhidmatan penting (Essential), rantaian perkhidmatan penting serta tatacara kawalan operasi premis disarankan Majlis keselamatan Negara (MKN).

“Mesyuarat itu turut memutuskan supaya bengkel membaiki kenderaan dan jentera, kedai membaiki pukat, kedai membeli getah sekerap, perkhidmatan pembinaan dan pembaikan segera bagi kerja-kerja kritikal dibenarkan beroperasi setiap hari, bersandarkan permintaan yang mendesak bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam.

“Begitu juga dengan perkhidmatan pembersihan dan penyemburan racun serangga bagi mengelakkan bahaya kepada orang awam serta kerja-kerja penyenggaraan bangunan,” katanya.

Kesemua perniagaan dan perkhidmatan dibenarkan itu merupakan sebahagian daripada 15 perkhidmatan ‘essential’ yang dibenarkan MKN untuk beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahap dua antaranya makanan, air, tenaga, komunikasi dan internet, keselamatan dan pertahanan, pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam dan pembentungan.

Selebihnya adalah perbankan dan kewangan, E-Dagang, pengangkutan, perkhidmatan pelabuhan, pengeluaran atau pembekalan bahan api dan pelincir, hotel dan penginapan, logistik (yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan penting) serta apa jua perkhidmatan atau kerja ditentukan Menteri sebagai penting bagi kesihatan dan keselamatan awam.

Menjelaskan lebih lanjut katanya, kerajaan negeri amat mengharapkan kebijaksanaan pemilik perniagaan untuk melaksanakan urusan jual beli selain mematuhi tatacara kawalan operasi premis ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sebagai contoh, pemilik perniagaan alat ganti kenderaan tidak perlulah membuka pintu kedai mereka sepanjang masa sebaliknya melakukan perkhidmatan penghantaran ke bengkel-bengkel yang memerlukan barangan dari mereka.

“Begitu juga dengan pemilik kenderaan. Ini bukan masanya untuk anda menghantar kenderaan ke bengkel dengan tujuan melakukan modifikasi sebaliknya bengkel yang beroperasi hanya dibenarkan untuk membaiki kenderaan rosak, yang memerlukan penyenggaraan segera untuk kegunaan pemiliknya,” katanya.

Memberi contoh lain, Kok Yew berkata, kebenaran untuk sektor pembinaan beroperasi tidaklah bermaksud kalangan pemilik rumah boleh melakukan renovasi terhadap rumah masing-masing dalam tempoh PKP ini.

“Lainlah kalau bumbungnya bocor teruk atau sistem pendawaian terdedah kepada bahaya hingga mengancam keselamatan penghuni. Itu kita benarkan,” katanya.

Beliau menambah, kalangan PBT disarankan supaya memberi kebenaran kepada rantaian sektor penting terlibat agar bekalan barangan keperluan serta perkhidmatan untuk kemudahan rakyat tidak terjejas.

“Kebenaran ini bagaimanapun perlu dipastikan tidak akan menjejaskan matlamat muktamad PKP fasa dua bagi memutuskan rangkaian COVID-19,” katanya.
 

Skip to content