Sejarah Langkawi

Selamat datang…

Langkawi terdiri daripada sekumpulan 99 buah pulau tropika di persisiran barat laut Semenanjung Malaysia, lebih kurang 30 km daripada Kuala Perlis dan 51 km daripada Kuala Kedah. Pulau utama dikenali sebagai Pulau Langkawi. Pulau-pulau ini mempunyai warisan mitos dan lagenda yang menarik, antaranya kisah gergasi dan burung garuda, pahlawan dan puteri kayangan, peperangan dan kisah cinta. Mitos yang sering dikaitkan dengan Langkawi Pulau Lagenda ialah Mahsuri Wanita berdarah putih.

Langkawi telah dianugerahkan status “Geopark” oleh UNESCO, untuk keindahan warisan geologinya, yang terdiri daripada landskap yang indah, binaan batu kapur, gua, gerbang laut, longgokan rumput kering, batu tinggalan glasier dan fosil-fosil. Dengan sejarah geologi sejak dari 500 juta tahun lalu, pulau-pulau ini mempunyai formasi batu unik yang membangkitkan imaginasi dan mengelirukan minda.

Langkawi adalah tempat yang sesuai untuk merehatkan minda setelah penat bekerja bagi mereka yang ingin lari dari kesibukan kota. Nikmatilah aktiviti berasaskan alam semulajadi, atau bersantai di tepi pantai. Terdapat juga beberapa tempat-tempat menarik untuk mereka yang gemar menikmati permandangan. Senyuman lembut dan layanan mesra akan menawan anda. Datanglah ke Langkawi untuk percutian yang lain daripada yang lain. 

 

Lagenda Langkawi
 

Mahsuri

Mahsuri merupakan anak perempuan kepada pendatang Siam yang beragama Islam. Mahsuri telah dituduh melakukan perbuatan sumbang oleh ibu mertuanya sendiri kerana ibu mertuanya merasa iri hati dengan kecantikan dan penghormatan yang dimiliki oleh Mahsuri. Akibatnya, Mahsuri dihukum mati.

Pada hari hukuman berlaku, keris keramat kepunyaan keluarga Mahsuri sendiri digunakan untuk membunuhnya. Namun begitu, terdapat satu perkara aneh berlaku dimana darah yang keluar dari badan Mahsuri berwarna putih dan itu membuktikan bahawa tuduhan yang dilemparkan kepadanya adalah fitnah semata-mata.

Disaat-saat akhir kematiannya, Mahsuri telah bersumpah bahawa Langkawi tidak akan aman selama tujuh keturunan. Kebenaran sumpah Mahsuri itu telah termakbul apabila Langkawi telah diserang oleh tentera Siam dan semua bekalan makanan dan tanaman telah dimusnahkan.

Antara kebenaran lagenda atau terbuktinya sumpahan itu, Langkawi hanya mula berkembang maju setelah tujuh keturunan berada di dalam kepayahan.

 

Tasik Dayang Bunting

Tasik ini diberi nama sedemikian kerana menurut satu lagenda lama, ia mengisahkan tentang perkahwinan seorang puteri kayangan dengan seorang putera raja kerajaan bumi. Anak yang lahir hasil daripada perkahwinan mereka ini telah mangkat selepas saja ia dilahirkan. Oleh kerana puteri ini sangat sedih dan kecewa dengan kejadian yang berlaku, beliau telah menyemadikan mayat anaknya ke dalam air tasik ini.

Setelah itu, beliau telah meninggalkan bumi dan kembali pulang ke kayangan. Puteri itu telah menjampi air tasik tersebut sebagai penawar kepada pasangan yang tidak dapat mendapat zuriat dan dipercayai perempuan yang mandul boleh kembali subur.

 

Mat Chincang & Mat Raya

Mat Chinchang dan Mat Raya adalah diantara keluarga gergasi yang tinggal di pulau utama di Pulau Langkawi. Disebabkan oleh saiz mereka yang besar serta kekuatan tenaga luar biasa yang dimiliki oleh mereka, bentuk mukabumi Langkawi telah berubah dengan dramatik.

Lagenda mereka bermula apabila Mat Raya bercadang untuk mengadakan kenduri bersempena dengan pertunangan anak perempuannya dengan anak lelaki Mat Chinchang. Pada hari majlis itu berlangsung didapati anak lelaki Mat Chinchang telah berlaku sumbang dengan seorang dara dan ini telah mencetuskan kemarahan Mat Raya.

Akibatnya, persahabatan diantara kedua keluarga ini terputus dan mereka saling bermusuhan sehingga berlakunya pertumpahan darah dan kehilangan nyawa. Pergaduhan di antara dua keluarga ini telah mengubah kawasan pulau utama ini dimana tempat cincin pertunangan itu jatuh selepas dicampakkan, dan dinamakan sebagai Tanjung Cincin.

Kawasan dimana peralatan yang digunakan untuk memasak itu pecah, dan dinamakan sebagai Kampung Belanga Pecah. Manakala kuah yang mengalir itu dinamakan Pekan Kuah dan tempat dimana kuah itu meresap ke tanah dinamakan Kisap serta kawasan Air Hangat yang mempunyai perigi air panas berasal dari bekas memasak air yang telah pecah semasa majlis tersebut berlangsung.

Mat Raya dan Mat Chinchang pula telah bertukar menjadi gunung batu yang dikenali sebagai Gunung Raya dan Gunung Chinchang. Manakala Mat Sawar yang menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah pertelingkahan mereka berdua ini telah bertukar menjadi sebuah bukit yang menjadi pemisah kepada dua gunung ini.

 

Skip to content