Perundangan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) melalui Pemberitahuan dalam Warta Kerajaan No. K. P.U. 2. Bertarikh 26 Januari 1978 menetapkan 1 Februari 1978 sebagai tarikh Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] berkuatkuasa dalam Negeri Kedah Darul Aman. Pengisytiharan dan penetapan taraf kawasan pihak berkuasa tempatan melalui seksyen 3 Akta 171 dalam Pemberitahuan yang sama menyebut Pihak Berkuasa Negeri selepas berunding dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan dan Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya dengan ini mengisytiharkan bahawa mulai 1hb Februari 1978, seluruh Kawasan pentadbiran di Daerah Kulim menjadi satu kawasan Pihak Berkuasa Tempatan yang dikenali sebagai Majlis Daerah Kerajaan Tempatan Kulim dan menentukan taraf Pihak Berkuasa Tempatan bagi kawasan Pihak Berkuasa Tempatan ini sebagai taraf Majlis Daerah. Melalui Pemberitahuan di bawah seksyen 4 Akta 171, Pihak Berkuasa Negeri selepas berunding dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Majlis Daerah Kulim, diisytiharkan bahawa mulai 12 September 2001, Majlis Daerah Kulim adalah dikenali sebagai Majlis Perbandaran Kulim dan Pihak Berkuasa Tempatan dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran. |