PERUTUSAN YANG DIPERTUA

Assalamualaikum Warrahmatullah Hiwabarakatuh.

Salam Kedah Sejahtera–Nikmat Untuk Semua.

Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjat kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah kurnia dan izinNya, tahun 2021 kini telah tiba dengan semangat keazaman baharu.

Sebagai sebuah PBT, MPKK juga tidak terkecuali turut terkesan dalam mendepani wabak Covid-19. Anggota MPKK turut berperanan sebagai Frontliners, berganding bahu dengan pelbagai agensi yang lain memerangi penularan wabak Covid-19.

MPKK sedar Covid-19 memberi kesan yang serius terhadap kelangsungan perniagaan di kalangan para peniaga terutama para peniaga kecil. Bagi membantu golongan peniaga kecil khususnya, MPKK akan terus melaksanakan Program Insentif Rangsangan Ekonomi Penjaja Kulim, selaras dengan pelaksanaan kawasan bebas berniaga yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri Kedah. Bagi mewujudkan masyarakat bandar yang sejahtera, MPKK juga akan memperkasakan lagi Program Pembasmian Kemiskinan Bandar pada tahun 2021 yang bertujuan untuk mengurangkan beban tanggungan keluarga miskin di bandar, meningkatkan keupayaan dan kualiti hidup keluarga.

Perkembangan sektor perindustrian di Kulim juga akan dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan khasnya dan ekonomi negara amnya. Hasrat ini dapat direalisasikan melalui pertambahan peluang pekerjaan dan peningkatan jumlah kutipan cukai oleh kerajaan. MPKK akan meningkatkan daya saing daerah Kulim sebagai destinasi pelaburan dalam dan luar negara dengan memperbanyakkan lagi inisiatif “ease of doing business” di Kulim. Untuk itu pelbagai inisiatif telah dan akan dirangka.

DR HAJI  NADZMAN BIN MUSTAFFA AMK.,BCK.
Yang Dipertua
Majlis Perbandaran Kulim

Bagi membawa Kulim ke masa hadapan, MPKK akan terus meneroka usaha untuk menjadikan Kulim sebagai sebuah bandar pintar (smart city). Untuk itu, usaha mewujudkan sistem penyampaian berasaskan teknologi akan menjadi keutamaan pada tahun 2021. Interaksi di antara MPKK dan masyarakat Kulim akan digerakkan secara maya di dalam pelbagai aspek terutama proses membuat bayaran serta permohonan lesen dan permit. Perkhidmatan ini akan disediakan secara atas dalam talian dan akan dipermudahkan.

Akhir kata dengan semangat tahun baharu, saya dan seluruh warga kerja Majlis Perbandaran Kulim akan berusaha mempertingkatkan keazaman untuk memberi perkhidmatan yang terbaik bagi setiap aspek dalam menyediakan prasarana, pembangunan, infrastruktur dan kemudahan awam demi mewujudkan kemakmuran dan keharmonian kepada penduduk di Daerah Kulim. Kami sedar melangkah ke tahun 2021 bukanlah sesuatu yang mudah. Kita mesti terus menyesuaikan diri dengan norma baharu dan merangka strategi yang bersesuaian bagi memastikan kelangsungan kehidupan kita dengan lebih sejahtera dan makmur.

MalayEnglishArabicChinese (Simplified)