(Petikan daripada Utusan Malaysia)

KOTA KINABALU 12 Jun – Penduduk di sekitar bandar raya ini khususnya berhampiran tebing sungai dan persisir pantai diminta tidak membuang sampah ke dalam air kerana perbuatan itu mengakibatkan bahan buangan hanyut ke pulau-pulau pelancongan berdekatan sekali gus mencemarkan persekitarannya.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab yang sudah berlarutan sejak sekian lama itu perlu dihentikan segera.

”Semua sampah dan sisa buangan datang dari tiga batang sungai sekitar Kota Kinabalu dan masuk terus ke laut. Ini merupakan punca utama berlakunya pencemaran alam sekitar di pulau-pulau di sini.

”Mereka yang tinggal berdekatan sungai dan laut menjadi penyumbang utama kepada masalah ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pejabat Taman-Taman Sabah di Pulau Manukan, dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas masalah sampah sarap dari tanah besar yang masih menjadi masalah utama di beberapa pulau pelancongan yang jaraknya kira-kira lima batu nautika dari sini.

Kurup berkata, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memang ada mengenakan kompaun kepada orang ramai yang melakukan kesalahan itu tetapi masih tidak berkesan.

Katanya, ramai yang tidak sedar bahawa dengan menjaga pulau-pulau berkenaan secara tidak langsung mampu untuk menggalakkan pembiakan hidupan marin di situ.

Sehubungan itu, pihaknya akan melancarkan aktiviti kesedaran mengenai alam sekitar dan kepentingaan penjagaannya bagi memastikan khazanah alam tersebut tidak dicemari.

Langkah itu katanya, adalah wajar supaya sebarang perbuatan atau kegiatan yang boleh mencemar atau merosakkan alam sekitar dapat di cegah untuk jangka masa panjang.

”Sasaran utama kita ialah generasi muda supaya mempunyai kesedaran tinggi mengenai perlunya memelihara alam sekitar, selain itu kita juga mahu penguatkuasaan undang-undang dilakukan,” katanya.

Skip to content