INTERNATIONAL GREENTECH & ECO PRODUCTS EXHIBITION & CONFERENCE MALAYSIA (iGEM) 2025
KUALA LUMPUR, 19 Okt – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim (TPHTK) telah menyertai International Greentech and Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (iGEM) yang berlangsung dari 15 hingga 17 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Penyertaan ini menampilkan pelbagai inisiatif hijau dan lestari yang dilaksanakan oleh PBT Kulim Hi-Tech Park dalam merencanakan agenda pembangunan mampan berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Menariknya, tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-30 penubuhan PBT tersebut, bertepatan dengan sambutan 30 tahun pembukaan Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi Kulim.
Sebagai PBT yang telah meraih pelbagai anugerah termasuk penarafan 3 hingga 5 Diamonds dalam inisiatif Bandar Rendah Karbon, TPHTK kini berada pada tahap kematangan yang kukuh dalam memperkukuh agenda pembangunan mampan berasaskan ESG.
PBT ini turut menegaskan komitmennya untuk menyeimbangkan kemajuan ekonomi, kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan komuniti setempat, selaras dengan aspirasi global Agenda ESG. Sejak tiga dekad lalu, PBT Kulim Hi-Tech Park kekal menjadi destinasi pilihan utama pelabur, dengan pembangunan yang berdaya tahan dan bertanggungjawab terhadap masa depan hijau negara.


