25 Oktober 2025 – KHTP : Tiga dekad adalah satu tempoh yang cukup signifikan , menandakan perjalanan panjang PBT Hi-Tech Kulim sebagai sebuah pihak berkuasa tempatan yang komited dalam membangunkan kawasan perindustrian bertaraf antarabangsa, di samping memastikan kesejahteraan komuniti setempat terus terpelihara.


Program PBT Hi-Tech Run ini bukan sekadar acara sukan, tetapi simbol kepada semangat kebersamaan, kesihatan dan gaya hidup aktif yang menjadi asas kepada komuniti yang sejahtera. Ia juga merupakan wadah untuk memperkukuh hubungan antara PBT Hi-Tech, agensi-agensi kerajaan, sektor industri dan masyarakat setempat.


Bagi memeriahkan lagi sambutan pada tahun ini, pelbagai aktiviti sampingan turut dilaksanakan seperti Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, Pertandingan Penyediaan Makanan Sihat, serta Servis Motosikal Percuma untuk golongan belia.


Inisiatif ini bukan sahaja menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat, malah memperkukuh peranan PBT Hi-Tech sebagai pihak berkuasa tempatan yang prihatin terhadap kesejahteraan rakyat dan gaya hidup lestari.


Lebih bermakna lagi, pada hari ini pelbagai agensi kerajaan turut membuka kaunter perkhidmatan, bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat dan perkhidmatan terus di lokasi , satu inisiatif yang selaras dengan semangat keterbukaan dan mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.


Terima kasih kerana hadir memeriahkan program ini dan menjadi sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-30 PBT Hi-Tech Kulim, dan kepada penaja sumbangan CSR hadiah cabutan bertuah yang terdiri daripada pemain industri kawasan KHTP, pihak konsultan, pihak pemaju dan lain-lain lagi. Kehadiran dan semangat anda semua mencerminkan sokongan padu terhadap usaha PBT Hi-Tech untuk membentuk komuniti yang aktif, sihat dan bersatu.


Semoga momentum kerjasama dan semangat kebersamaan ini terus subur dalam perjalanan PBT Hi-Tech Kulim ke arah masa depan yang lebih gemilang.


Terima kasih semua!

Skip to content