PBT TPHTK RAIH ANUGERAH GREEN & SUSTAINABILITY AWARD DI IMT-GT REGIONAL BUSINESS EXCELLENCE AWARDS 2026

KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2026 – Pihak Berkuasa Tempatan Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim (PBT TPHTK) sekali lagi melakarkan sejarah apabila menerima Green & Sustainability Award pada Majlis Makan Malam IMT-GT Regional Business Excellence Awards 2026 yang berlangsung di KLGCC Convention Centre, di sini, hari ini.

Anugerah yang disampaikan oleh Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka, tersebut diterima oleh Puan Sunita Abdul Aziz, Yang Dipertua PBT TPHTK.

Turut hadir ialah Tuan Ahmad Fayadh Abdul Manap, Setiausaha PBT TPHTK. Pengiktirafan ini merupakan satu pencapaian bermakna buat PBT TPHTK dalam memperkukuh komitmen terhadap agenda kelestarian alam sekitar, pengurusan bandar yang bertanggungjawab serta pembangunan yang mampan, khususnya dalam mendukung aspirasi Kulim Hi-Tech Park sebagai taman perindustrian berteknologi tinggi yang progresif dan berdaya saing di rantau ini.

Green & Sustainability Award mengiktiraf organisasi atau individu yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap pemeliharaan alam sekitar dalam amalan perniagaan mampan.

Penilaian anugerah ini merangkumi lima aspek utama, iaitu komitmen terhadap kelestarian alam sekitar, inovasi teknologi dan penyelesaian hijau, impak alam sekitar jangka panjang, amalan ekonomi kitaran serta tanggungjawab sosial dan penglibatan komuniti.

Antara elemen paling penting yang diberikan perhatian termasuk usaha mengurangkan jejak karbon, mengoptimumkan penggunaan sumber semula jadi, meningkatkan kecekapan tenaga dan penjimatan air, mengurangkan sisa serta pencemaran, di samping memelihara biodiversiti.

Penggunaan teknologi hijau, tenaga boleh baharu, bahan mesra alam dan amalan kitar semula turut menjadi sebahagian daripada pendekatan yang menyokong kelestarian.

Selain itu, anugerah ini turut menekankan kepentingan impak alam sekitar yang positif dan boleh diukur dalam jangka panjang, termasuk peningkatan kualiti udara dan air, pemeliharaan ekosistem serta sumbangan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Penglibatan komuniti dalam meningkatkan kesedaran dan memperluas amalan lestari juga merupakan antara aspek penting yang diberikan penekanan.

Penerimaan anugerah ini menjadi dorongan kepada PBT TPHTK untuk terus mempergiat inisiatif pembangunan rendah karbon, memperkukuh pengurusan sumber secara cekap serta memperluas pelaksanaan amalan hijau dalam penyampaian perkhidmatan dan pembangunan kawasan industri berteknologi tinggi.

PBT TPHTK akan terus komited untuk mengintegrasikan prinsip kelestarian dalam perancangan dan pengurusan kawasan, di samping menggalakkan kerjasama strategik bersama pihak berkepentingan, komuniti dan sektor industri bagi mewujudkan persekitaran yang lebih hijau, bersih, berdaya tahan dan mampan untuk kepentingan generasi akan datang.

Pencapaian ini bukan sekadar pengiktirafan, malah menjadi pemangkin kepada usaha berterusan PBT TPHTK dalam merealisasikan pembangunan yang seimbang antara kemajuan industri, kesejahteraan komuniti dan pemeliharaan alam sekitar.

PBT TPHTK – Memacu Kemajuan, Memperkasa Kelestarian.

IMTGT
Skip to content