Putrajaya : 28 Oktober 2025 – Tahniah kepada PBT Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim (PBT TPHTK) atas kejayaan menerima Penarafan Bandar Pintar – Early Adopter berasaskan MS ISO 37122:2019 sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025 Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Pencapaian ini amat membanggakan apabila PBT TPHTK menyertai inisiatif ini lebih awal daripada sasaran asal yang ditetapkan oleh PlanMalaysia iaitu pada tahun 2030, hasil komitmen tinggi dan kepimpinan proaktif Yang Dipertua dan seluruh anggota pentadbiran PBT dalam melaksanakan agenda bandar pintar.

Langkah berani ini membuktikan kesungguhan PBT TPHTK dalam menerajui pembangunan mampan, inovatif dan berasaskan teknologi demi kesejahteraan.

Penganugerahan ini diberikan di atas penilaian dan pematuhan terhadap Sustainable Cities and Communities indicator for Smart Cities di mana sebagai pengiktirafan terhadap usaha berterusan PBT TPHTK dalam melaksanakan agenda Bandar Pintar yang bersifat inklusif, mampan dan berteraskan teknologi.

Majlis penganugerahan yang disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan Yang Berhormat Tuan Nga Kor Min, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan diadakan penuh gemilang di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya.

Anugerah berprestij ini disampaikan oleh YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada Yang Berbahagia Puan Sunita binti Abdul Aziz, Yang Dipertua PBT TPHTK.

Hadir sama, Encik Ahmad Fayadh bin Abdul Manap, Setiausaha PBT TPHTK; Tuan Ir. Ts. Mohamed Asri bin Johan, Penolong Setiausaha; Encik Mohd Fadzli bin Mat Yusoff, Penolong Pegawai Perancang Bandar dan Desa; Encik Mohd Shakir bin Rashidi, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat; Puan Noor Asmida binti Abdul Jalil, Ketua Unit Pentadbiran; dan Cik Huril-Ain binti Mohamad Nasir, Penolong Pegawai Tadbir.

Pengiktirafan ini bukan sekadar penghargaan, tetapi merupakan tanda kejayaan bersama hasil sokongan tidak berbelah bahagi daripada kepimpinan, warga kerja PBT TPHTK, agensi teknikal, para pemegang taruh, komuniti yang turut sama komited menjayakan agenda pembangunan bandar mampan.

Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk PBT TPHTK terus melangkah maju sebagai bandar yang berdaya tahan, selamat, lestari, berteknologi dan mesra komuniti demi kesejahteraan generasi hari ini dan akan datang.

Skip to content