𝐊𝐀𝐑𝐍𝐈𝐕𝐀𝐋 𝐋𝐈𝐓𝐄𝐑𝐀𝐒𝐈 𝐓𝐄𝐍𝐀𝐆𝐀 𝟐𝟎𝟐𝟓 𝐀𝐍𝐉𝐔𝐑𝐀𝐍 𝐍.𝐔.𝐑 𝐏𝐎𝐖𝐄𝐑 𝐒𝐃𝐍. 𝐁𝐇𝐃.
29 November 2025 – KHTP: Yang Berbahagia Puan Sunita binti Abdul Aziz, Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim (PBT TPHTK) berkesempatan memenuhi jemputan ke Karnival Literasi Tenaga 2025 anjuran NUR Power dengan kerjasama Program Literasi tenaga Malaysia (MELP) sebuah program berimpak yang menghimpunkan pelbagai agensi, industri serta komuniti setempat bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan literasi tenaga.
Karnival yang dirasmikan oleh YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Timbalan Menteri PETRA memaparkan komitmen berterusan kerajaan dalam mempromosikan amalan penggunaan tenaga yang cekap, selamat dan mampan.
Kehadiran Puan Yang Dipertua bukan sahaja melambangkan sokongan PBT TPHTK terhadap usaha memperkasa pendidikan tenaga, malah mencerminkan aspirasi PBT untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan industri dalam mempromosikan budaya celik tenaga dalam kalangan masyarakat.
Program ini turut menyediakan platform interaktif yang merangkumi pameran, sesi penerangan, dan aktiviti pendidikan bagi memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai teknologi tenaga moden serta langkah-langkah penjimatan yang berkesan.
PBT TPHTK menyambut baik inisiatif ini dan berharap lebih banyak program berorientasikan kesedaran tenaga dapat dianjurkan pada masa akan datang demi mewujudkan sebuah komuniti yang lebih berinformasi, bertanggungjawab dan berdaya saing.