ENCIK MAHAMAD SUHAIMI BIN MAN, AMK., BCK. Yang Dipertua Majlis Daerah Sik

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Saya mengucapkan terima kasih dan selamat datang kepada semua yang sudi melayari Portal Rasmi Majlis Daerah Sik (MDS). Portal Rasmi MDS ini merupakan salah satu saluran penyampaian maklumat kepada semua lapisan masyarakat. Semua maklumat yang terkandung di dalam portal ini sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa untuk memudahkan masyarakat mengetahui aktiviti terkini Majlis Daerah Sik.

Bagi menjadikan MDS sebagai sebuah PBT yang berwibawa, sumber kewangan adalah sangat penting. Antara sumber kewangan MDS adalah sewa dan cukai taksiran. Masih terdapat banyak tunggakan sewa dan cukai taksiran yang belum dijelaskan oleh penyewa dan pembayar cukai. Oleh itu pihak Majlis ingin menyeru agar semua penyewa premis dan pembayar cukai dapat menyelesaikan hutang tertunggak mereka dengan segera. Pihak Majlis telah membuat pelbagai program untuk menggalakkan penyewa dan pembayar cukai menjelaskan tunggakan mereka.

Hari Bertemu Pelanggan dan Program LA 21 adalah antara program yang diadakan bagi mendekatkan masyarakat dengan MDS dan di samping itu dapat menggalakkan mereka menjelaskan tunggakan sewa dan cukai taksiran. 
Selain dari itu, MDS juga sedang merancang strategi bagi membangunkan lagi sektor pelancongan di Daerah Sik untuk menarik minat pelancong dalam dan luar negara. Kebanyakan sektor pelancongan ini tertumpu kepada taman rekreasi dan kawasan peranginan yang terdapat di Daerah Sik.

Dengan adanya kemudahan portal ini, saya berharap dapat memberikan maklumat yang berguna kepada semua masyarakat mengenai kawasan di bawah pentadbiran MDS khususnya dan negeri Kedah amnya.

Akhir sekali saya mengalu-alukan kedatangan semua di masa akan datang untuk melayari portal ini. Saya juga berbesar hati sekiranya semua dapat memberikan cadangan dan juga komen yang membina untuk penambahbaikan Portal Rasmi Majlis Daerah Sik dan juga Majlis Daerah Sik sendiri. Selamat melayari Portal Rasmi Majlis Daerah Sik, Kedah Darul Aman.

Sekian, terima kasih.

Skip to content