Daerah Yan adalah sebuah daerah yang unik dalam negeri Kedah. Alam semulajadi yang mencakupi banjaran Gunung Jerai yang menganjur ke kawasan laut di Tanjung Jaga dan Selat Melaka. Mengikut sejarah sebutan Yan diambil daripada penghujung perkataan ” Sendayan” iaitu sejenis tumbuhan yang banyak terdapat di sini suatu ketika dahulu. Tetapi ada kalangan yang menyanggah pendapat itu mengatakan sebutan Yan adalah singkatan dari perkataan buah ” Durian “.
Bagaimanapun Daerah Yan mencatat sejarahnya tersendiri. Beberapa tempat dalam daerah ini terdapat kelompok berketurunan Acheh. Sehingga terdapat sebuah perkampungan yang dikenali ” Kampung Acheh ” jaraknya 2 kilometer dari Bandar Yan. Perpindahan beramai-ramai rakyat Acheh ke sini boleh diramalkan berdasarkan beberapa fakta sejarah. Daerah Yan dibuka secara rasmi pada 1904 bersamaan 1324 Hijrah, ketika itu Kawasan Yan ditadbir oleh seorang bangsawan bernama Syed Othman Al-Qadri yang dianugerahkan oleh KBDYMM Tuanku Sultan Kedah.
Tugas utamanya ialah memungut cukai dan mentadbir Daerah sehinggalah berlakunya campur tangan Inggeris yang telahpun melantik seorang Pegawai Pentadbir yang baru bernama Tengku Mansur Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid yang berperanan menjadi Hakim, Pemungut Cukai Tanah dan Hasil Perdagangan. Bagaimanapun, Pegawai Daerah Yan pertama mentadbir Daerah secara rasmi ialah Dato’ Indera Segara Madi.