SUKAN HARUS DIJADIKAN MEDIUM UNTUK AKRABKAN HUBUNGAN PERSAHABATAN – SANUSI
RABU (09.07.2025)
BALING – Bersukan atau beriadah dalam hidup kita adalah satu keperluan. Ia penting untuk memastikan kita sentiasa sihat dan cergas. Tidak perlu tunggu jadi seorang atlet atau ahli sukan profesional untuk kita aktif dalam sukan. Sebaliknya peruntukanlah sedikit masa beberapa minit setiap hari atau beberapa hari dalam seminggu untuk kita keluarkan peluh yang jika dibiarkan boleh men
jadi racun dalam badan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata bekerja dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memerlukan kita banyak berurusan dengan orang ramai. Kakitangan PBT tidak kira di peringkat mana atau apa jua pangkat perlu aktif bergerak ke sana ke sini, turun padang di serata ceruk pekan atau kampung melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Untuk itu, kita perlu sentiasa cergas bukan untuk kakitangan tetap sahaja, Ahli-Ahli Majlis juga kena cergas.
”Dalam memastikan petugas-petugas PBT kita sentiasa cergas, kita perlu jadikan sukan sebagai sebahagian dari budaya hidup. Ini bukan khusus di PBT sahaja tetapi di semua jabatan dan bahagian kerajaan. Kita tidak bercakap tentang kejohanan semata-mata kerana kejohanan sukan seperti ini memang sudah sedia.
“Apa yang penting bagi saya ialah sukan sebagai budaya kehidupan, tak kira sama ada kita terpilih masuk bertanding atau tidak. Penganjuran sukan seperti Kejohanan Sukan PBT Negeri Kedah ini memang cukup baik dan amat diperlukan.
“Saya yakin seorang kakitangan atau pekerja yang aktif bersukan merupakan seorang yang produktif dalam melaksanakan tugasannya. Dia juga mungkin seorang yang sentiasa ceria, muka penuh senyum dan ringan tulang.
”Walau bagaimanapun, ingin saya ingatkan di sini bahawa apa yang penting bagi kita ialah keseimbangan. Satu lagi, sukan harus jadi medium untuk kita mengakrabkan hubungan persahabatan, kasih sayang dan semangat berpasukan sesama kita. Jangan kerana kalah dalam acara sukan, kita berdendam, mengadu domba, memfitnah dan sebarkan cerita buruk mengenai kawan-kawan.
“Inilah misi kita menganjurkan Kejohanan Sukan Antara PBT Negeri Kedah ini setiap dua tahun sekali. Selain untuk kecergasan fizikal dan mental, tujuannya adalah memupuk semangat kerjasama dan persaudaraan yang erat antara semua PBT di negeri kita. Selama tiga hari berturut-turut, kita telah menyaksikan pertandingan yang sengit dalam sembilan jenis sukan yang dipertandingkan. Dari bola sepak hingga e-sport, dari badminton hingga petanque, setiap pertandingan telah menampilkan bakat dan kemahiran warga-warga PBT kita.
“Sekali lagi syabas dan terima kasih kepada penganjur Kejohanan Sukan PBT bagi tahun 2025. Semoga semangat kerjasama dan persaudaraan yang terjalin melalui kejohanan ini akan terus mengukuh dan memajukan Negeri Kedah Darul Aman,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Perasmian Penutup Kejohanan Sukan PBT Tahun 2025 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Majlis Daerah Baling di sini, hari ini.
Hadir sama Setiauasaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah, Saifulrijal Azhari; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Kesihatan Negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria;
Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairul Anuar Syed Abidin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustafa dan Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya.
Dalam perkembangan sama, PBT Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan acara yang dianjurkan dengan perolehan tiga (3) Emas bagi acara Tenpin Boling, Karom dan E-Sport. Tiga (3) Perak bagi acara Dart, Sepak Takraw dan Bola Sepak dan satu (1) pingat Gangsa bagi acara Petanque.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Alor Setar juga turut memenangi tiga (3) emas melalui acara Badminton, Sepak Takraw dan Bola Sepak.
Majlis Daerah Kubang Pasu (MPKP) juga memenangi dua (2) pingat emas memalui acara Dart dan Bola Jaring. Manakala bagi acara Petanque dimenangi oleh Majlis Daerah Sik.
Dalam program yang sama juga, pihak penganjur telah mengistiharkan bahawa Majlis Daerah Pendang (MDP) akan menjadi tuan rumah acara-acara Kejohanan Sukan PBT bagi edisi Tahun 2027 akan datang.
#SB
#AH
#IF
#PihakBerkuasaTempatan(PBT)





