Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera semua.

Apa khabar semua warga Majlis Daerah Bandar Baharu. Saya doakan semuanya sihat walafiat. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung Laman Portal Majlis Daerah Bandar Baharu ini.

Apabila anda berminat mengikuti apa-apa maklumat dan cerita dalam Laman Portal MDBB ini, bermakna anda mengambil berat tentang Majlis Daerah Bandar Baharu. Bagus, teruskanlah amalan begitu kerana kita menyajikan maklumat dan aktiviti-aktiviti MDBB terus kepada pembaca melalui Laman Portal MDBB ini.

Terlebih dahulu saya ingin memperkenalkan diri saya sebagai orang baru dalam pentadbiran Majlis Daerah Bandar Baharu. Nama saya seperti di bawah dan bertugas sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Bandar Baharu. Tentunya banyak benda dan perkara yang saya kurang arif lagi dengan daerah ini. Saya akan cuba belajar secepat mungkin kerana masa tidak menunggu kita. Sesuatu perlu dibuat dalam menggerakkan organisasi MDBB ke arah yang lebih cemerlang dan yang pentingnya dapat menambahkan pendapatan MDBB. Sudah tentu saya amat memerlukan kerjasama semua pihak termasuk anak-anak buah saya di MDBB, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan di daerah Bandar Baharu, kepimpinan politik tempatan, JPKK serta rakyat jelata sekalian. Tanpa kerjasama semua pihak tidak mungkin usaha untuk membangunkan daerah Bandar Baharu yang terletak jauh di Selatan negeri Kedah ini akan tercapai.

Saya menyedari banyak halangan dan kekangan terutama dari segi kewangan, peralatan dan sumber manusia dalam merealisasikan harapan dan cita-cita penduduk tempatan. Harapan mereka memang tinggi. Tapi mampukah dipenuhi dengan segala kekangan yang ada. Ini merupakan satu cabaran besar kepada Majlis Daerah Bandar Baharu untuk menghadapinya.

Ramai orang berfikir yang sumber kewangan MDBB disumbangkan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Ya memang benar sumbangan ada juga diterima oleh MDBB dari Kerajaan Negeri dan Persekutuan, tapi jumlah yang disumbangkan itu tidaklah sebesar mana. Jadi sumber utama MDBB masih lagi tertumpu kepada cukai taksiran, sewaan gerai majlis, kutipan lesen perniagaan dan lain-lain yang tidak begitu banyak kutipannya. Majlis tidak boleh mengharapkan sepenuhnya bantuan dari Kerajaan Negeri kerana Kerajaan Negeri juga banyak komitmen yang perlu diberikan dan memerlukan peruntukan yang banyak bagi memenuhi janji-janji kepada rakyat. Begitu juga Kerajaan Persekutuan memang banyak membantu dan memberikan pelbagai projek pembangunan, tetapi tentunya tidak boleh bergantung sepenuhnya juga kerana pemberian itu tidak menentu. Adakalanya banyak dan adakalanya berkurangan dari sebelumnya.

Jadi saya berharap rakyat bersabar jika tuntutan dan aduan yang dibuat tidak dapat dipenuhi. Semuanya bergantung sepenuhnya kepada kedudukan kewangan MDBB. Ruang punca untuk mendapatkan hasil agak terhad. Apa yang boleh ditumpukan ialah mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap pembayar-pembayar cukai yang masih lagi tertunggak dengan banyak dan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap tunggakan-tunggakan sewaan premis MDBB yang agak tinggi juga. Di samping itu, MDBB akan mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas premis-premis perniagaan yang beroperasi tanpa lesen premis dari MDBB.

Saya berharap agar orang awam dapat memahami akan hasrat MDBB ini kerana pembayaran cukai taksiran dan sewaan premis MDBB adalah tanggungjawab individu berkaitan. Begitu juga sesiapa sahaja yang menjalankan perniagaan dan perusahaan di daerah ini perlu mengambil lesen perniagaan yang sesuai.

Semua hasil-hasil yang dikutip ini akan dipulangkan semula untuk kesejahteraan rakyat. Jadi saya mengharapkan semua pihak dapat memberikan kerjasama kepada tindakan-tindakan yang sedang dan akan diambil oleh MDBB.

Terima Kasih.


Yang Dipertua,
Majlis Daerah Bandar Baharu,
09800 Serdang,
Kedah Darul Aman.

Skip to content